Tuesday 4 December 2012

PENGENALAN KEPADA TONGKAT ALI SECARA UMUM



Tongkat Ali adalah sejenis herba yang tidak asing lagi kepada pengamal perubatan tradisional di rantau ini (Asia Tenggara) sejak turun-temurun. Di Indonesia pokok ini dikenali dengan nama Pasak Bumi. Di Vietnam pokok ini dikenali dengan nama Cay ba binh yang bermaksud ‘tumbuhan penyembuh 100 jenis penyakit’.
Nama botani: Eurycoma longifolia Jack

Nama lain: Penawar pahit, bedara pahit, bedara putih, bedara merah, hempedu pahit,
payung Ali, tongkat baginda, muntah bumi, petala bumi, akar jangat semang, tongkat rasul,
setunjang bumi dan pasak bumi.


Famili: Simaroubaceae


Memang tepat dengan panggilan yang diberikan kepada pokok ini kerana Tongkat Ali terbukti berhasiat untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Di kalangan masyarakat kita, apabila sahaja disebut Tongkat Ali ramai yang mengaitkan dengan masalah keupayaan seksual lelaki.

Tongkat Ali didapati banyak tumbuh di hutan malar hijau di Asia Tenggara. Tongkat Ali digunakan secara meluas di negara ini dalam penyediaan ubatan tradisional dan produknya dijual dalam berbagai bentuk seperti kapsul, tablet serta tonik. Pada masa ini, terdapat kira-kira lebih daripada 30 produk ubatan tradisional di negara ini yang mengandungi tongkat ali sama ada secara tulen atau campuran dengan lain-lain herba.

Tongkat Ali terkenal kerana mempunyai kesan penggalak seks (‘aphrodisiac’). Secara tradisi ia digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan. Antaranya, termasuk pening kepala, luka-luka, kurap, disentri, bengkak, kelenjar, antileukemik, antitumor, antiviral, antifidan, insektisidal, antiamebik, antimalaria dan antiradang.Kandungan kimia tongkat ali yang penting dalam industri ialah; eurikomanone, eurikomalaktone dan eurikomanol (quassinoids) yang banyak terdapat dalam akar. Maklumat lebih terperinci mengenai hal ini sedang diselidiki. Penyelidikan menunjukkan bahawa bahan kimia (fitokimia) yang terdapat dalam tongkat ali boleh meningkatkan paras testosterone (hormon yang diperlukan untuk fungsi kelelakian).

Tongkat Ali merupakan tanaman jenis saka yang tumbuh menegak tanpa cabang. Pokok ini tumbuh pada kadar yang perlahan dalam keadaan semulajadi. Ketinggiannya boleh mencapai 15 m. Daunnya berbentuk bujur, tersusun secara berpasangan pada satu tangkai. Terdapat 20–30 pasang anak daun di setiap tangkai daun. Batangnya berbentuk silinder, berwarna kelabu di bahagian yang tua dan coklat kemerahan di bahagian yang muda. Daun muda yang baru berkembang biasanya berwarna antara hijau kekuningan, hijau tua dan coklat. Tangkai bunga tongkat ali tumbuh daripada di celah tangkai daun. Setiap tangkai mengandungi banyak cabang, dan terdapat beberapa ratus kuntum bunga berwarna merah ungu yang kemudiannya menjadi buah.

Dua jenis tongkat ali terdapat di Semenanjung Malaysia iaitu Eurycoma longifolia Jack dan Eurycoma apiculata A.W. Bennett . Spesies E. longifolia didapati ditanam secara komersial kerana mempyunyai kandungan bahan aktif yang lebih tinggi berbanding E. apiculata.



Rupa pokok Tongkat Ali hampir sama dengan pokok sentang. Batangnya lurus tegak, daunnya berpelepah dan sifat yang sangat ketara ialah akar tunjangnya besar dan lurus. Pokok yang berumur 10 -15 tahun, panjang akar tunjangnya boleh mencapai antara 6 - 9 kaki dan biasanya tidak mempunyai akar cabang. Mungkin itulah sebabnya maka pokok ini diberi nama Pasak Bumi.

Tongkat Ali tumbuh secara semulajadi di hutan tropika yang berbukit bukau di negara-negara Asia Tenggara meliputi negara Myanmar, Thailand, Vietnam, Malaysia, kepulauan Borneo dan Indonesia. Dalam keadaan habitat asalnya pokok Tongkat Ali dikatakan lambat membesar. Untuk mencapai peringkat matang (berbunga) pertumbuhannya mengambil masa selama 10 -15 tahun. Bagi pokok yang ditanam di ladang peringkat matangnya adalah lebih awal iaitu antara 5-7 tahun.

Dalam amalan perubatan secara tradisional hanya bahagian akar pokok Tongkat Ali sahaja yang digunakan. Akar yang dicabut akan dipotong nipis kemudian dikeringkan beberapa hari sebelum digunakan.

Mengikut amalan tradisional, akar Tongkat Ali yang telah cukup kering direbus dengan tiga cawan air sehingga menjadi satu cawan. Cara ini adalah amalan biasa yang digunakan oleh pengamal perubatan tradisional untuk mendapatkan pati herba. Air rebusan Tongkat Ali ini diminum dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam.

Tongkat Ali mempunyai pelbagai khasiat untuk penjagaan kesihatan badan. Khasiat utama akar Tongkat Ali ialah untuk kekuatan tenaga batin lelaki serta perempuan yang ada kaitan dengan meningkatkan keinginan seks.

Banyak kajian yang dilakukan oleh pakar perubatan dan ahli penyelidik luar dan tempatan berhubung dengan perkara ini. Dr. Bakti Nitisastro Taufik B.A dari Ka Puskesmas T.N Kodya Tanjung Balai, Indonesia membuat penyelidikan mendapati Tongkat Ali baik untuk kekuatan tenaga batin lelaki dan perempuan.

Kajian kesan pengambilan akar Tongkat Ali secara berterusan mendapati pengamal mempunyai perjalanan darah yang lancar dan tidak menghadapi sakit urat saraf serta mempunyai daya tenaga badan yang luar biasa.

Seorang penyelidik dari Jabatan Farmasi USM Dr. Ang Hooi Hoon juga memberi kenyataan pengambilan air akar Tongkat Ali boleh meningkatan keinginan seks, prestasi dan ketahanan. Kenyataan beliau telah disokong oleh hasil kaji selidik Dr. Johari Mohammad Said dan Noraniza bt. Aminuddin dari Universiti Malaya terhadap beberapa orang sukarelaan lelaki bahawa selepas mengambil Tongkat Ali selama seminggu, paras testosteron lelaki boleh meningkat hampir 480%.

Testosteron adalah sejenis hormon yang diperlukan untuk merangsang keinginan seks. Ia adalah hormon kelakian yang memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan daya seksual lelaki. Selain dari merangsang pembinaan otot, peningkatan sel darah merah dan mempercepatkan penyembuhan daripada sakit atau kecederaan, testosteron juga amat penting dalam mengawalatur struktur pertumbuhan sifat seksual sekunder kaum lelaki. Ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan syahwat lelaki. Umumnya, tahap testosteron akan menurun mengikut pertambahan usia - secara langsung menurunkan daya seksual. Oleh itu sumber asas tambahan seperti Tongkat Ali ini diperlukan bagi mengembalikan keupayaan tenaga dan seksual lelaki.

Dalam satu lagi kajian yang dibuat oleh Dr. Johari Mohammad dan Noraniza Aminuddin mendapati Tongkat Ali juga mampu menentukan jantina dan meningkatkan kesuburan sperma.

Kajian dibuat dengan menyuntik 3 ekor tikus jantan dengan ekstrak Tongkat Ali dan 3 ekor tikus jantan lain tidak disuntik. Tikus-tikus jantan ini dimasukkan dalam sangkar berasingan dengan pasangan masing-masing.

Daripada pemerhatian didapati 3 ekor tikus jantan yang disuntik ekstrak Tongkat Ali lebih kerap melakukan aktiviti seks berbanding dengan 3 ekor tikus jantan yang tidak disuntik. Kajian juga mendapati pasangan tikus-tikus jantan yang disuntik telah mengandung. Daripada pembedahan yang dilakukan ke atas tikus-tikus betina tersebut didapati benih-benih yang telah disenyawakan (sperma) terdiri daripada 90% sperma jantan.

Anti malaria

Sejak awal tahun tujuh puluhan, beberapa pusat penyelidikan perubatan telah mencari penawar anti malaria plasmodium falciparum iaitu satu daripada empat jenis demam malaria yang telah dikenal pasti. Malaria plasmodium falciparum sangat merbahaya sehingga boleh membawa maut. Tidak seperti malaria lain, plasmodium tidak boleh dirawat dengan menggunakan Choloquire iaitu ubat anti malaria yang biasa; digunakan ( Miller er. - al. 1986).

Pada tahun 1997 sekumpulan penyelidik perubatan Dr. Gimlettle dan Thomson telah berjaya membuktikan Tongkat Ali boleh menawar semua jenis demam malaria termasuklah malaria plasmodium.

Sumber:

1) Mardi (http://www.mardi.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=db588b7a-627e-40fe-848b-91eafc0e7ce4&groupId=10138)

2) http://fazlisyam.com/2008/04/25/khasiat-tongkat-ali/